Kerajaan negeri komited atasi masalah liputan internet di Pulau Aman


GEORGE TOWN, 24 Jan — Kerajaan Pulau Pinang komited untuk menyelesaikan masalah liputan internet di Pulau Aman, seterusnya memastikan penduduk setempat dapat menikmati capaian internet dengan lebih lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata antara cadangan jangka masa pendek yang akan dipertimbangkan adalah mengoptimumkan infrastruktur telekomunikasi sedia ada di kawasan tersebut, serta pemasangan peranti seperti repeater yang dapat meluaskan kawasan liputan. 

“Bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mempertimbangkan pemasangan infrastruktur telekomunikasi baharu di kawasan terjejas. 

“Pun begitu, apa-apa penyelesaian juga perlu dibincangkan dengan lebih mendalam bersama syarikat telekomunikasi terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri mengambil maklum isu liputan internet di Pulau Aman, iaitu sebuah pulau berpopulasi rendah berdekatan kawasan Batu Kawan, Seberang Perai Selatan yang terkenal sebagai perkampungan nelayan. 

“Masalah ini mendatangkan kesukaran kepada sesetengah penduduk di pulau tersebut, khususnya beberapa pelajar yang perlu mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ekoran daripada tinjauan yang dibuat semalam, pihak MCMC akan menjalankan kajian terperinci bagi mencari penyelesaian yang paling sesuai bagi penduduk di situ,” katanya.

Zairil berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan MCMC serta syarikat telekomunikasi untuk mencari penyelesaian terbaik bagi masalah penduduk Pulau Aman.

Pada 22 Jan lalu, media melaporkan pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar seperti Kampung Pulau Aman, Pulau Aman gusar apabila sesi PdPR dalam talian sering terjejas berikutan capaian internet yang terhad di kawasan itu dan berharap pihak berwajib tampil untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *