Kematian dalam lokap: Tak wajar polis siasat polis


Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, mengulangi kebimbangannya berhubung “konflik kepentingan” polis yang menyiasat “diri sendiri” dalam isu kematian tahanan di lokap.

Kenyataan itu dibuat selepas polis mengumumkan siasatan dalaman terhadap kematian dalam tahanan kali ketiga bulan ini. Yang terbaru di lokap polis di Marang, Terengganu.

“Polis yang menyiasat sendiri menimbulkan konflik kepentingan dan tiada pertuduhan (berada di lapangan).

“Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin harus merujuk siasatan kes kematian tahanan kepada jawatankuasa pilihan parlimen mengenai hak asasi manusia, Suhakam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan,” kata Charles.

Semalam, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian seorang lelaki berusia 38 tahun yang ditahan kerana mencuri di lokap Marang.

Pada 16 Jan lalu, seorang lelaki berusia 37 tahun meninggal dunia di lokap balai polis Pangkalan Chepa di Kelantan.

Sebelum itu pada 13 Jan, seorang lelaki berusia 63 tahun turut meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Ddaerah Taiping.

Dalam usaha menangani kes berterusan kematian dalam tahanan, polis bulan lalu membentuk Unit Siasatan Jenayah Mengenai Kematian Dalam Tahanan (USJKT).

Sejak penubuhan itu, polis telah mengambil tanggungjawab untuk mengumumkan kes kematian dalam tahanan.

Sebelum ini, kes seumpama itu hanya terbongkar selepas aduan keluarga atau apabila ia diketengahkan oleh wakil rakyat mahu pun NGO.

Bagaimanapun, Charles berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk menghentikan kes kematian tahanan yang berterusan.

“Menteri Dalam Negeri perlu bertindak untuk menghentikan lebih banyak kematian,” katanya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.