Kasi duluan vaksin sama pekerja runcit dan perdagangan dahulu, gesa menteri


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mencadangkan pemain sektor perdagangan, pengedaran dan peruncitan diberi vaksin bulan ini.

Ini sebagai persiapan pembukaan semula pelbagai sektor hadapan ekonomi dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) selanjutnya, katanya, memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa tubuh mula membina imunisasi selepas dua hingga tiga minggu menerima vaksin.

Beliau berkata, risiko jangkitan yang dihadapi tenaga kerja sektor berkenaan setiap hari sangat serius dan boleh membantutkan usaha kerajaan untuk mencapai tahap imuniti kelompok yang dikehendaki bagi memacu kejayaan PPN.

Oleh itu, sektor-sektor berkenaan harus diberi perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagaimana sektor lain seperti perkilangan dan pembinaan, katanya.

“Kementerian berpendapat adalah tidak adil bagi mereka yang terlibat dalam sektor ini untuk menunggu lebih lama program vaksinasi yang dikhaskan buat mereka,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau juga berkata, berdasarkan data dan statistik Kementerian Kesihatan (KKM), hanya 0.8% daripada keseluruhan kluster melibatkan sektor perdagangan domestik, manakala tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sektor berkenaan pula ialah 98.54%.

Walaupun bilangan kluster yang tercetus dalam sektor peruncitan adalah rendah, pekerja, khususnya di pasar raya, berhadapan risiko yang tinggi kerana sentiasa bersemuka dengan pelbagai kategori pengguna, katanya.

Menurutnya, 1,162 pekerja daripada 59 pasar raya telah dijangkiti Covid-19 yang menyebabkan operasi pasar raya tersebut terpaksa ditutup, dan hingga hari ini, tujuh cawangan pasar raya masih ditutup kerana kebanyakan pekerja perlu menjalani proses kuarantin.

Dalam sesi libat urus yang disertai timbalannya, Rosol Wahid, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, pegawai kanan kementerian serta 90 wakil pelbagai subsektor peruncitan baru-baru ini, pemain industri bersetuju keutamaan perlu diberikan kepada barisan hadapan sektor berkenaan, katanya.

Nanta berkata, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap keperluan membuka semula perniagaan domestik bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan juga kehidupan pekerja-pekerja yang mencari pendapatan melalui sektor berkenaan terbela.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *