Jualan tiket ETS, KTM Intercity bagi Julai hingga Disember dibuka mulai Jumaat


KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Jualan tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity akan dibuka mulai esok bagi perjalanan dari 1 Julai sehingga 31 Dis tahun ini berdasarkan jadual waktu sedia ada.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 32 perkhidmatan melibatkan 10 laluan KL Sentral-Butterworth, 10 laluan KL Sentral-Ipoh, lapan laluan KL Sentral-Padang Besar, dan masing-masing dua laluan Gemas-Butterworth dan Gemas-Padang Besar.

Perkhidmatan KTM Intercity pula beroperasi dengan 22 servis terdiri daripada dua Ekspres Timuran, enam Ekspres Selatan dan 14 Shuttle Timuran.

“Mulai 1 Julai, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran akan beroperasi semula dari Stesen Johor Bahru Sentral ke Stesen Tumpat termasuk perkhidmatan Ekspres Selatan yang akan beroperasi dari Stesen Johor Bahru Sentral ke Stesen Gemas,” menurut KTMB dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

Menurutnya operasi bagi laluan Kempas Baru ke Johor Bahru Sentral sebelum ini ditutup bagi kerja-kerja menaik taraf Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB Sentral (PLBEGJB) pada 23 Nov lepas.

“Jualan tiket ini dibuka untuk tempoh enam bulan, bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang akan menyambut Aidiladha, cuti sekolah serta mereka yang merancang untuk bercuti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Mohd Rani Hisham Samsudin dalam kenyataan sama.

Beliau berkata memandangkan pintu sempadan negara telah dibuka dan kemasukan pelancong dijangka meningkat sehingga akhir tahun ini, pelanggan disaran untuk membeli tiket segera bagi menikmati kadar tambang murah serta memilih tempat duduk.

Sementara itu, pelanggan KTMB boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM15 dengan menggunakan kod promo ‘CUTIKERETAPI2’ bagi perjalanan sehingga 30 Nov serta diskaun tambang perjalanan berkumpulan sebanyak 25 peratus melalui Pakej Keluarga Malaysia menggunakan promo kod ‘KMKTMB22’ untuk pembelian tiket dewasa atau kanak-kanak. 

Pengguna boleh membuat pembelian tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB. Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau saluran media baharu rasmi KTMB dan laman sesawang di www.ktmb.com.my.

— BERNAMA

 

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *