JMB, MC dicadang pinjam Kumpulan Wang Pelepas laksana sanitasi di bangunan berstrata


KUALA LUMPUR,  24 Feb  — Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dicadang menggunakan budi bicara dan kuasa mereka untuk meminjam daripada Kumpulan Wang Pelepas bagi menampung kos kerja-kerja sanitasi di kawasan kediaman berstrata sekiranya tiada peruntukan khas disediakan. 

Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata langkah itu dibuat kerana tugas dan tanggungjawab JMB dan MC adalah untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan penghuni pemilik di bangunan berstrata tersebut seperti termaktub dalam Akta Pengurusan Strata atau Akta 757.

“Namun apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah tamat dan kutipan sudah boleh dimulakan, adalah perlu untuk digantikan semula wang berkenaan.

“Keadaan ini (pinjaman) walaupun tidak tertakluk dalam Akta 757 tetapi berdasarkan kepada tujuan JMB dan MC dalam melaksanakan kewajipannya iaitu melakukan kerja-kerja sanitasi dan ini sangat diperlukan demi keselamatan penduduk di kawasan berkenaan agar bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program webinar Pengurusan Pencegahan dan Memerangi COVID-19 di Bangunan Berstrata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2021 ‘Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19’ anjuran DBKL, di sini, hari ini.

Program webinar secara maya yang disertai kira-kira 300 komuniti bangunan berstrata, dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Kamarulzaman berkata JMB dan MC juga boleh menggunakan peruntukan di dalam yuran penyelenggaraan bagi menampung kos sanitasi di bangunan berstrata sekiranya tiada peruntukan khas disediakan.

Bagaimanapun, katanya, kaedah tatacara bagi sesuatu perolehan (kerana ia melibatkan kos) mestilah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdasarkan garis panduan bertarikh 13 Feb 2020.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL Dr Umi Ahmad berkata kerja sanitasi di bangunan berstrata dibuat bergantung kepada kemampuan pengurusan JMB dan MC.

“Ia sebenarnya bergantung dengan bajet, kalau mampu lebih baik kerja-kerja sanitasi dibuat di seluruh bangunan jika berlaku kes positif COVID-19 di tempat mereka.

“Jika kurang mampu, JMB dan MC boleh fokus kepada kawasan berisiko tinggi, contohnya, kawasan yang berkemungkinan disentuh oleh pesakit iaitu di tempat awam dalam kawasan strata seperti lif, lobi, tangga dan koridor,” katanya.

Sementara itu, Mahadi dalam ucapan perasmiannya mengharapkan agar komuniti bangunan berstrata dapat mematuhi segala arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 sekali gus menjamin keselamatan dan kesihatan orang awam.

Beliau berkata keadaan di bangunan berstrata melibatkan perkongsian ramai penghuni yang mempunyai perbezaan latar belakang, agama, bangsa, budaya dan sebagainya.

“Semua penghuni perlu berkongsi harta bersama seperti lif, tangga, koridor, padang permainan, kolam renang, tangki air, bumbung, paip kumbahan, bilik serba guna dan lain-lain lagi. Oleh itu, hubungan yang harmoni dan toleransi antara pemilik sangat diperlukan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *