JKNPs Perlis keluarkan tujuh notis merokok di kawasan larangan


KANGAR, 14 Mei (Bernama) — Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs)  mengeluarkan tujuh notis kepada individu dan pemilik premis yang gagal mematuhi larangan merokok di tempat awam  menerusi  Op Lebaran Bebas Asap Rokok di sekitar Persiaran Makanan Bintong malam tadi.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis (Bahagian Kesihatan Awam) Dr Ghazali Chik berkata notis 32b di bawah Peraturan 11(1) dan 22(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu melibatkan kompaun keseluruhan RM1,750.

“Kita telah melakukan pemeriksaan terhadap 33 buah premis, lima notis dikeluarkan kepada individu kerana merokok di tempat awam dan dua notis kepada pemilik premis yang gagal meletakkan tanda larangan merokok,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata selain pemeriksaan, pihaknya turut memberi nasihat kepada orang ramai tentang larangan merokok di tempat awam melalui risalah, nasihat dan edaran kad berkaitan jenis kesalahan serta nilaian kompaun.

“Pendidikan kesihatan ini diberi supaya mereka tidak menghisap rokok di kawasan larangan merokok khususnya di tempat tumpuan awam seperti kedai makan,” katanya.

Beliau berkata operasi akan terus dibuat bagi menjaga kesihatan masyarakat khususnya mereka yang pergi ke tempat tumpuan awam seperti kedai makan, kawasan Rehat dan Rawat (RnR) dan sebagainya.

“Kami melihat isu merokok dalam kalangan pengunjung premis makanan masih lagi tinggi dan untuk pemilik premis kita melihat dari segi meletakkan tanda larangan merokok di premis mereka dengan saiz dan tempat yang jelas serta mereka tidak boleh menyediakan tempat abu rokok yang boleh mengundang pengunjung ke premis mereka,” katanya.

Beliau berkata pemilik premis perlu melarang dan menasihati  sekiranya ada pengunjung yang datang merokok atau menghisap vape di tempat mereka.

“Penguatkuasaan vape juga dilaksanakan jika dibuktikan ada bahan nikotin hasil tembakau dalam vape mereka, boleh dikenakan tindakan,” katanya.

— BERNAMA


 

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.