Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Punyai Mandat Jalankan Inkuiri Isu Azam Baki


Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, merujuk kepada laporan berita berkenaan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), YB Abdul Latiff Abdul Rahman, yang telah membuat keputusan menangguh mesyuarat yang dijadualkan semalam atas alasan teknikal perundangan yang ditimbulkan oleh ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beberapa pihak juga menyatakan pandangan bahawa sebuah usul daripada Dewan Rakyat diperlukan untuk merujuk isu ini kepada JPK untuk membolehkan JPK menjalankan sesuatu prosiding termasuk siasatan terhadap Tan Sri Azam Baki, mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kami berpendirian bahawa Peraturan Mesyuarat dan terma rujukan bagi sesebuah JPK ini harus dibaca bersekali dengan tujuan penubuhan JPK secara harmoni supaya membolehkan JPK menjalankan fungsinya secara berkesan.

Dewan Rakyat pada 11 November 2020 telah meluluskan usul penubuhan JPK-JPK dan memberi mandat kepada JPK Bagi Agensi-agensi di bawah JPM ini untuk meneliti dan menilai perjalanan pelaksanaan polisi serta operasi yang berkaitan dengan agensi-agensi di bawah JPM seperti SPRM dan anggotanya ini.

Terma rujukan semasa JPK Bagi Agensi-agensi di bawah JPM juga memperuntukkan kuasa memanggil mana-mana di hadapannya dari satu masa ke masa mengikut Peraturan Mesyuarat 83(2).

Mandat yang diberikan oleh Dewan Rakyat ini perlu ditafsirkan secara meluas bahawa JPK telah diberikan kuasa untuk menentukan isu-isu yang perlu dikaji atau disiasat dan tidak perlu lagi rujukan daripada Dewan Rakyat untuk setiap isu kerana mandat secara meluas telah diberikan.

Jika rujukan Dewan Rakyat diperlukan untuk setiap isu yang ingin dikaji atau disiasat oleh JPK, ia menjadikan JPK tidak efektif dan sekaligus bertentangan dengan tujuan penubuhan JPK itu sendiri untuk melaksanakan fungsi pengawasan berkesan terhadap agensiagensi di bawah JPM.

Penafsiran terma rujukan yang luas ini sebenarnya juga telah menjadi konvensyen dan diamalkan oleh JPK-JPK semasa yang lain yang mana mereka sendiri menentukan isu-isu yang ingin dikaji dan disiasat tanpa perlu merujuk kepada Dewan Rakyat. Contohnya, JPK Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial dan JPK Kesihatan, Sains dan Inovasi telah menjalankan mesyuarat dan pendengaran tentang isu-isu dalam bidang kuasa mereka tanpa perlunya rujukan Dewan Rakyat setelah mandat luas telah diberikan.

Amalan ini juga merupakan amalan atau konvensyen yang biasa oleh JPK-JPK di negara yang mempunyai demokrasi berparlimen yang matang terutama sekali sistem berparlimen Westminster.

Kami ingin mengingatkan semua pihak, terutamanya Pengerusi JPK dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, bahawa penakrifan setiap isu yang ingin diambil oleh JPK, perlu rujukan daripada Dewan Rakyat adalah sebuah pendekatan yang amat sempit dan regresif serta akan mempengaruhi operasi JPK-JPK yang lain pada masa depan jika pendekatan ini terus diambil semata-mata untuk menghalang sebuah siasatan terhadap Tan Sri Azam Baki sekarang.

JPK perlu diberikan ruang untuk melaksanakan fungsi mereka secara bebas bagi menyiasat isu yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti ini.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:

  1. The Coalition for Free and Fair Elections (BERSIH)
  2. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
  3. Persatuan Pengundi Muda (Undi18)
  4. ENGAGE
  5. Bait Al-Amanah
  6. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
  7. WISDOM Foundation

Leave a Reply

Your email address will not be published.