Jangan bergantung pada satu atau dua jenama saja, kata persatuan


Perkhidmatan e-hailing lebih telus kerana pengguna dimaklumkan mengenai kadar tambang sebelum mereka membuat keputusan untuk menggunakan perkhidmatan itu atau tidak, kata Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia.

Jurucakap persatuan itu, Jose Rizal, dalam satu kenyataan hari ini berkata jika pengguna bimbang tentang kenaikan kadar tambang, mereka harus mempertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan aplikasi e-hailing lain daripada bergantung pada “satu atau dua jenama”.

“Sebenarnya tidak timbul isu-isu lonjakan harga kerana pengguna eHailing boleh memilih untuk bersetuju atau tidak dan terdapat 32 tawaran operator applikasi e-hailing di pasaran Malaysia setakat bulan April 2022 yang di luluskan operasinya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD).

“Pengguna perlu lebih terbuka dan tidak hanya bergantung kepada satu atau dua jenama aplikasi e-hailing yang berkemungkinan dilihat membebankan pengguna e-hailing.

“Jadilah sebagai pengguna yang bijak memilih penawaran yang terbaik mengikut kemampuan tertentu,” katanya.

Jose juga menjelaskan bahawa kenaikan harga perkhidmatan e-hailing adalah disebabkan oleh konsep “pasaran terbuka” industri, yang dicirikan oleh permintaan-dan-penawaran yang menentukan kadar tambang.

Justeru, dia berkata harga mungkin meningkat baru-baru ini berikutan musim perayaan, kelulusan pengeluaran RM10,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) individu serta pengumuman negara dalam fasa peralihan ke endemik Covid-19.

Pada masa sama, dia mengingatkan pemain industri e-hailing mengenai tarikh pelaksanaan Perlindungan SPS Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja gig ekonomi, yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2022.

“Peringatan mesra untuk penggiat industri eHailing untuk mencarum dan menunaikan tanggungjawab sebagai penggiat industri e-hailing Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, penumpang yang tidak berpuas hati mengadu kenaikan harga hampir dua kali ganda daripada kadar biasa untuk perjalanan Grab mereka.

Turut dilaporkan penumpang teksi juga meningkat 40 peratus sejak kebelakangan ini berikutan tambang perkhidmatan e-hailing yang mahal.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.