Jangan Ada ‘Sindrom Penafian’, Kerajaan Gagal Urus Banjir – Shafie Apdal


KOTA KINABALU: Kerajaan tidak seharusnya berada dalam sindrom penafian setelah gagal menguruskan bencana banjir di negara ini.

Sebaliknya, kerajaan perlu menyedia perancangan yang rapi untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan bencana alam seperti banjir mahupun kemarau.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, Perdana Menteri selaku ketua kerajaan patut mengarahkan semua menteri, menteri besar dan agensi berkaitan termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Kementerian Pertahanan untuk turun membantu mangsa-mangsa banjir.

“Jangan tunggu 50 orang meninggal dunia akibat banjir baru kita hendak bertindak, ini membabitkan nyawa manusia dan kerugian akan melanda. Kita sedar banjir sudah berlaku maka perlu ada templat agar kordinasi gerak kerja yang lebih baik dapat disusun atur,” katanya dalam sidang Parlimen Khas pada Khamis.

Templat yang ada perlu menggariskan apa peralatan yang perlu disediakan dan siapa yang akan digerakkan apabila berlakunya banjir.

Menurut beliau, tiada gunanya kerajaan berbelanja berbilion ringgit untuk Kementerian Pertahanan jika tidak memanfaatkan tenaga kerja yang ada untuk membantu rakyat dilanda musibah.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, masalah banjir bukan masalah politik, ia adalah masalah yang membabitkan nyawa manusia maka, Perdana Menteri yang mempunyai kuasa terhadap keselamatan negara perlu mengerahkan semua pihak berkaitan untuk memainkan peranan masing-masing dan bukannya saling menyalahkan mana-mana pihak.

“Banjir yang berlaku di Penampang sehingga ke bumbung rumah, ia tidak pernah seteruk ini. Atas sebab itu, semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dahulu, saya melibatkan bala tentera untuk membantu membina rumah kerana masyarakat kita tiada rumah.

“Kita bukan berhadapan peperangan dan masalah keselamatan tapi, kita berhadapan dengan nyawa manusia. Jika kerajaan boleh berbelanja berbilion ringgit membeli aset-aset ketenteraan kenapa tidak gerakkan mereka untuk ketika banjir.

“Di Penampang berapa batalion ditempatkan di Kem Lokkawi tapi, apabila banjir sampai atap, takkan kita tiada mata, tiada telinga untuk mendengar.

“Fikirkan bagaimana gerakkan mereka, Majlis Keselamatan Negara perlu memainkan peranan supaya semua agensi keselamatan dapat digerakkan.

“Kita berhadapan kerugian RM6.5 bilion akibat banjir dan saya rasa lebih daripada itu. Umno sudah memerintah berapa lama sepatutnya mereka tahu templat untuk mengatasi masalah banjir berdasarkan ramalan kaji cuaca yang ada,” jelasnya.

Maka, sudah tiba masa untuk kerajaan memperbetulkan kesilapan dan mengurankang perbelanjaan dengan melantik penasihat demi penasihat. Manfaatkan kewangan yang ada itu untuk menampung kebajikan rakyat yang terkesan akibat banjir.

Kerajaan harus segera melaksana perkara yang perlu, jika sungai sempit, lebarkan sungai dan kena ada perancangan rapi dalam pembangunan masa depan.

“Harap pada masa depan kita ada kesiapsiagaan dan kordinasi yang lebih baik antara agensi berkaitan dengan menggunakan templat yang ada.

“Saya risau kemarau akan melanda negara pada April hingga Jun maka, kalau tiada kesiapsiagaan, kawasan setinggan dan ladang akan terkesan semasa musim kemarau ini,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.