JAKM: Sukan rakyat dam aji imbau nostalgia zaman kanak-kanak


Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 22 Mei (Bernama) — Kunjungan Tuan Ridhwan Tuan Far, 33, ke siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, ternyata menjadi lebih bermakna apabila beliau menghabiskan masa kira-kira 15 minit di reruai sukan rakyat untuk bermain dam aji.

Permainan tradisional itu secara tidak langsung berjaya mengimbau nostalgia zaman kanak-kanaknya, apatah lagi sudah lebih 10 tahun beliau tidak bermain permainan berkenaan.

Penjawat awam berasal dari Kelantan dan menetap di Penampang itu tidak melengahkan masa dan terus ke meja yang menempatkan papan dam aji, bersama isteri Nurul Aida Mohd Zain, 32, dan anak perempuan mereka untuk bermain permainan tradisional tersebut di ruangan reruai disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya mula-mula nampak ada dam aji, saya terus teringat zaman kanak-kanak. Saya dan adik beradik lain selalu main permainan ini dulu. Jika ada waktu lapang kami akan main dam aji, ia permainan antara keluarga.

Contohnya ketika musim tengkujuh, jika tiada apa-apa kerja dibuat, kami akan main dam aji. Itulah nostalgia. Jadi, masa nampak ada permainan tradisional tadi, saya terus pilih untuk bermain dam aji… lama betul tidak bermain permainan ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini Sabtu.

Selain dam aji, KBS turut menampilkan permainan tradisional lain seperti congkak di ruangan reruai mereka sempena siri JAKM edisi Sabah pada kali ini bagi mempromosi seterusnya memberi pengalaman menyeronokkan kepada para pengunjung untuk bermain permainan itu.

Tuan Ridhwan berkata inisiatif menampilkan sukan rakyat dalam siri jelajah seumpama itu sangat baik  kerana ia dapat memberi pendedahan mengenai keunikaan permainan tradisional yang kini semakin dilupakan khususnya dalam kalangan generasi muda berikutan perkembangan teknologi dan permainan moden

Pandangan sama turut diberikan seorang pengunjung Siti Hajar Jirun, 36, dari Kota Belud yang berkata kebanyakan kanak-kanak pada zaman sekarang tidak mengenali sukan rakyat atau permainan tradisional tempatan.

Bagi Sharieza Iopin, 36, dari Putatan, promosi mahupun pendedahan aktiviti sukan rakyat dan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda amat perlu bagi memastikan ia tidak luput ditelan zaman.

“Inisiatif menampilkan sukan rakyat dalam siri jelajah AKM (Aspirasi Keluarga Malaysia)  sangat bagus kerana pengunjung terutama orang muda boleh mencuba permainan tradisional ini,” katanya, yang turut berpendapat permainan tradisional seperti gasing dan batu seremban juga perlu lebih banyak dipromosikan kerana ia hampir dilupakan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Saiful Bahri Kamaruzaman berkata, sambutan pengunjung ke ruangan reruai sukan rakyat sangat menggalakkan dan meriah kerana masing-masing begitu teruja untuk bermain permainan tradisional serta beberapa permainan lain seperti karom dan “golf putt” yang disediakan di situ.

“Pendedahan kepada sukan-sukan rakyat perlu diperbanyakkan lagi kerana sekarang ini dilihat lebih kepada sukan berteknologi. Kami tidak mahu sukan rakyat hilang ditelan zaman, jadi dengan pendedahan seperti ini, ia akan dapat menaikkan semula semangat sukan rakyat dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya.

— BERNAMA 

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.