Itu penemuan KPT tidak ngam, PdP online bikin tekanan


Kajian terbaharu oleh Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan 78.4% pelajar universiti tidak berasa tertekan ketika mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian tetapi pelajar dan pensyarah tidak bersetuju dengan penemuan itu.

Murina Rose Pawanteh, seorang pensyarah di UOW Malaysia KDU berkata, sesetengah pelajarnya percaya sesi kuliah perlu seimbang antara kaedah dalam talian dan bersemuka.

“Pembelajaran secara maya bukanlah alternatif terbaik tetapi ia boleh melengkapi pembelajaran secara bersemuka,” katanya.

“Pengurusan kelas harus dilakukan dengan baik terutama dari segi disiplin pelajar dan prasarana sekiranya kita mahu melaksanakan pengajaran secara maya sepenuhnya.”

Seorang lagi pensyarah daripada UOW Malaysia KDU, Jehan Nabilah Adnan berkata, walaupun PdP dalam talian meningkatkan beberapa aspek pengajaran dan pembelajaran, namun beliau kurang bersetuju dengan hasil kajian itu.

“Pelajar sama seperti orang dewasa lain yang bekerja kerana mereka juga akan keletihan dan penat dari segi mental,” kata Jehan.

“Bayangkan keletihan mental yang dilalui selepas menyelesaikan tiga atau empat tugasan ketika melakukan persediaan untuk ujian atau peperiksaan akhir.”

Katanya, sejak pembelajaran secara maya dilaksanakan, keputusan pelajar merosot dengan ketara manakala kualiti kerja dan sosial juga terjejas.

Manakala pelajar juga tidak bersetuju dengan kajian itu dengan salah seorang daripada mereka di Universiti HELP berkata, ramai pelajar masih belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran baharu.

“Pelajar yang memerlukan lebih banyak interaksi secara bersemuka mungkin sukar untuk menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara maya dan boleh berasa tertekan,” katanya.

“Sesetengah pelajar mungkin tidak dapat memberi fokus ketika pembelajaran secara maya kerana mereka tidak mempunyai persekitaran yang kondusif untuk belajar di rumah dan memerlukan persekitaran yang lebih baik dalam kelas.”

Seorang lagi pelajar dari UOW Malaysia KDU berkata, PdP dalam talian adalah “mimpi ngeri” terutama untuk menyeimbangkan masa dengan banyak subjek dan tarikh akhir menyerahkan tugasan.

“Pembelajaran secara maya bukan alternatif terbaik. Ia mengehadkan masa seseorang pelajar untuk bersosial berbanding menghadiri kelas secara bersemuka,” katanya.

Ketika pelajar terbabit ditanya mengenai cara untuk memperbaiki kaedah itu, rata-rata memberi cadangan supaya ia dilakukan dengan meningkatkan interaksi.

Pelajar HELP University berkata, cadangan itu adalah untuk pelajar dan pensyarah.

Katanya, pelajar harus mewujudkan satu kumpulan belajar dalam talian untuk membincangkan bahan belajar dan mengeratkan hubungan persahabatan.

Pembelajaran menerusi platform permainan

“Dari segi pensyarah, ia adalah idea terbaik untuk meluangkan masa menerokai platform permainan seperti Kahoot dan Nearpod untuk mengukur sama ada pelajar memahami bahan yang diajar kepada mereka,” katanya.

Permainan adalah satu strategi untuk menarik minat dengan menggunakan elemen itu ke dalam persekitaran pendidikan.

Pensyarah mempunyai cadangan mereka sendiri untuk memperbaiki pembelajaran secara maya.

Murina mencadangkan prasarana PdP dalam talian seperti akses internet boleh dipertingkatkan.

Manakala Jehan pula mencadangkan pelajar dipantau secara dekat termasuk perkembangan semasa mereka.

“Jika saya mempunyai saiz kelas yang lebih kecil, saya akan mengambil peluang untuk bersemuka dengan setiap pelajar sebaik selesai kelas untuk mengetahui perkembangan mereka dan sebagainya,” katanya.

“Kita harus saling menunjukkan sikap yang baik terhadap satu sama lain tidak kira sama ada pelajar atau pensyarah. Kita tidak tahu berapa lama pandemik atau pembelajaran secara maya ini perlu dilakukan kerana akhirnya kita bergantung kepada satu sama lain untuk menjadikannya bermanfaat penuh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.