INGKAR PKP, 29 INDIVIDU DIKENAKAN KOMPAUN


KOTA KINABALU: Seramai 29 individu dikenakan kompaun selepas didapati ingkar terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini, sejak 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah berkumpul tanpa penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Selain itu katanya, polis turut mengarahkan 300 kenderaan berpatah balik di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan daerah ini.

“Ia bagi menghalang pengguna jalan yang tidak mempunyai alasan kukuh meneruskan perjalanan rentas daerah.

“Semua pengguna jalan raya itu diarahkan berpatah balik berdasarkan alamat pada kad pengenalan pemandu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Habibi berkata, jumlah kompaun yang kecil juga membuktikan tahap pematuhan masyarakat di sekitar ibu negeri amat memuaskan.

Katanya, pemeriksaan serta tinjauan di pusat hiburan juga tidak mengesan sebarang penyalahgunaan lesen berikutan tiada pelanggan yang dibenarkan masuk dan makan di dalam premis,” katanya.

“Setakat ini, seramai 1,270 pegawai serta anggota dikerah melaksanakan tugas penguatkuasaan sepanjang PKP dan sebahagiannya ditugaskan untuk pencegahan jenayah,”katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Habibi berkata, polis sudah memanggil dua wanita dan enam lelaki yang terbabit dalam isu minum minuman keras di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) baru-baru ini.

Katanya, ia bagi membantu siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi mendapatkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Ia juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit No.9 2020,” katanya. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *