Funding Societies sasar biaya RM1 bilion


Kuala Lumpur: Funding Societies, platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang terbesar di Malaysia menjangka untuk menyalurkan pembiayaan secara kumulatif melebihi RM1 bilion seiring dengan keadaan ekonomi yang semakin pulih dan stabil berdasarkan unjurannya pada 2021.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, ia berjaya menyalurkan lebih RM650 juta dana sehingga kini, di tengah-tengah penularan Covid-19 pada 2020.

Walaupun kesan ekonomi global pandemik Covid-19 memberi cabaran terhadap hampir semua industri pada 2020, Funding Societies yakin ia turut menjadi pemacu penerimaan FinTech dan dalam sektor perkhidmatan kewangan mempertingkatkan penggunaan penyelesaian pembiayaan digital.

Prestasi cemerlang ini mengukuhkan lagi kedudukan utamanya dalam industri dengan lebih 60 peratus bahagian pasaran, menyalurkan RM6 bilion di rantau Asia Tenggara.

Wong berkata, 2020 sememangnya tahun yang paling mencabar bagi kebanyakan syarikat.

“Bagaimanapun, kami muncul lebih kuat daripada sebelumnya, mencapai beberapa kejayaan sementara kami kekal fokus untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pelabur di platform kami,” katanya dalam kenyataan.

Dari sudut pelabur, Funding Societies menarik sejumlah 50,000 pelabur berdaftar sehingga kini, meskipun dalam persekitaran pelaburan yang tidak menentu.

“Selain kesedaran yang lebih meluas mengenai platform pelaburan digital sejak beberapa tahun lepas, pertumbuhan jumlah pelabur kami boleh dikaitkan dengan peningkatan hubungkait di serata kelas aset tradisional seperti saham dan bon, seterusnya menekankan mengenai kepelbagaian pelaburan di luar kelas aset-aset tersebut,” katanya.

Funding Societies telah mengekalkan kadar ingkar sekitar tiga peratus menerusi pendekatan penilaian risiko daripada pelbagai penjuru, termasuk sentiasa memantau dan menganalisa impak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap pelanggan PMKS mereka, mengkaji portfolio PMKS sedia ada dari semasa ke semasa serta melaksanakan pelan tindakan untuk perniagaan-perniagaan yang terjejas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *