FORMULA TEPAT | Harian Metro


GABUNGAN keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan pematuhan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) serta inisiatif Belanjawan 2021 dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dilihat sebagai formula tepat bagi meletakkan Malaysia di landasan pemulihan, baik dari segi kesihatan awam, mahupun ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada 20 Januari lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar 1.75 peratus di mana keputusan itu dikira berpatutan memandangkan pelbagai kemudahan kerajaan menerusi pelbagai pakej bantuan masih lagi berterusan atau akan dilaksanakan.

“Langkah yang sudah dan akan terus dilaksanakan termasuk moratorium pinjaman, geran khas, Program Subsidi Upah dan pembiayaan mudah kepada PKS, dapat membantu rakyat dalam menghadapi fasa pemulihan ekonomi.

“Tambahan pula, BNM juga mengumumkan perlanjutan fleksibiliti bagi institusi perbankan menggunakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) untuk memenuhi pematuhan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sehingga 31 Disember 2022.

“Secara ringkasnya, langkah ini akan memastikan mudah tunai mencukupi bagi menyokong aktiviti kewangan dan ekonomi.

“Gabungan keputusan mengenai OPR dan SRR dengan inisiatif Belanjawan 2021 dan Permai seperti mempercepat perolehan vaksin dan menggalakkan ujian saringan pekerja dilihat sebagai formula tepat bagi meletakkan Malaysia di landasan pemulihan, baik dari segi kesihatan awam, mahupun ekonomi, Insya-Allah,” katanya dalam Laporan Laksana ke-37 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), semalam.

Menurutnya, perkara paling utama semua langkah itu perlu dilihat secara keseluruhan, bukan persendirian.

“Contohnya, dari segi Program Subsidi Upah (PSU) di mana hampir RM13 bilion disalurkan pada tahun 2020 di bawah PSU 1.0 dan PSU 2.0, dengan baki peruntukan RM2 bilion akan disalurkan pada tahun 2021.

“Di samping itu, PSU bersasar bernilai RM1.5 bilion diumumkan bagi sektor pelancongan dan peruncitan melalui Belanjawan 2021.

“Kerajaan akan menambah RM1 billion bagi PSU 3.0 di bawah Permai, yang merangkumi semua sektor terkesan PKP.

“Selain itu, di bawah Permai, langkah terbaharu termasuk diskaun elektrik khas dan diskaun umum, serta inisiatif untuk mengurangkan kadar sewa turut diberi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tetap akan berusaha melakukan yang terbaik untuk membendung wabak Covid-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *