Felda beli 15 juta lagi saham FGV


Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membeli 15 juta lagi saham dalam FGV Holdings Bhd daripada pasaran terbuka pada RM19.5 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV menjelaskan saham itu dibeli semalam pada harga RM1.30 sesaham.

Langkah itu sekali gus menjadikan jumlah saham FGV yang dibeli oleh Felda setakat minggu ini sebanyak 66 juta saham.

Pada Isnin dan Selasa, Felda telah membeli 51 juta saham melalui pasaran terbuka pada RM1.30 sesaham dengan keseluruhannya bernilai RM66.3 juta.

Minggu lalu, Felda menerusi dua kenyataan mengumumkan bahawa ia telah membeli sejumlah 27.15 juta saham FGV daripada pasaran terbuka pada harga RM1.29 sesaham atau RM35.02 juta.

Ini dilaksanakan selepas agensi itu mengeluarkan dokumen tawarannya pada Selasa minggu lalu (12 Jan) berkaitan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat untuk semua baki saham dalam FGV yang tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan.

Tawaran RM1.30 sesaham akan dibuka untuk penerimaan sehingga pukul 5 petang pada 2 Februari 2021 kecuali dilanjutkan atau disemak.

Pada 8 Disember 2020, Felda, yang telah memiliki 21.24 peratus kepentingan ekuiti dalam FGV, meningkatkan kepentingannya dalam syarikat itu kepada 35.12 peratus dan bercadang untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian pada RM1.30 sesaham.

Tambahan 13.88 peratus kepentingan pula telah dibeli daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (6.1 peratus) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (7.78 peratus).

Saham FGV tidak berubah pada RM1.30 tengah hari ini dengan 5.97 juta saham diniagakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *