ESPC Serba Dinamik sambut baik syor berkaitan undang-undang keselamatan siber


KUALA LUMPUR, 13 Okt  — Serba Dinamik Group Bhd menerusi cabang keselamatan sibernya, E-Security and Privacy Channel (ESPC), menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang keselamatan siber baharu yang dapat memastikan Malaysia kekal kompetitif serta menarik untuk perniagaan dalam segmen tersebut.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah berkata langkah tersebut juga tepat pada masanya serta sejajar dengan usaha Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara digital sepenuhnya.

“Saya berharap usaha mewujudkan undang-undang keselamatan siber ini dapat membolehkan kita membangunkan infrastruktur digital yang berdaya tahan, persekitaran ruang siber lebih selamat, ekosisem keselamatan siber yang tangkas selain memperkukuh kerjasama antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kerajaan sedang dalam proses menyiapkan syor berkaitan undang-undang keselamatan siber yang bertujuan memperketat aspek berkaitan dan akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Mengulas selanjutnya, Abdul Karim berkata langkah tersebut akan turut menjadikan Malaysia sebagai salah satu tempat paling selamat di dunia untuk penggunaan teknologi pintar.

Menurutnya, Malaysia juga mempunyai penguatkuasaan yang kukuh serta undang-undang keselamatan siber yang berkesan dalam membantu orang ramai mendapat pembelaan apabila membeli peranti atau menggunakan perkhidmatan dan penyelesaian yang gagal menepati standard keselamatan dan boleh mendedahkan mereka kepada pencerobohan data dan jenayah scam.

 “Saya yakin undang-undang itu dapat menangani isu yang dialami perniagaan serta rakyat. Ini juga menjadi langkah penting memandangkan terdapat banyak peranti yang bermasalah dari segi keselamatan di pasaran yang turut mendedahkan pengguna kepada risiko penjenayah siber,” katanya.

Malah, katanya, negara dan rakyat juga terdedah kepada risiko serangan siber jika kerajaan tidak mempunyai tadbir urus tangkas dalam aspek keselamatan siber.

“Apa yang diperlukan hanyalah aspek kejuruteraan sosial untuk mendapat akses ke atas kelemahan manusia yang seterusnya menyebabkan pencerobohan keselamatan,” katanya.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *