Ekonomi China terus berkembang baik


BEIJING, 25 Okt (Bernama) — Ekonomi China terus menyaksikan pemulihan dan mempamerkan prestasi semakin baik pada tiga suku pertama tahun ini, menurut Biro Statistik Negara (NBS).

Data NBS menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China merekodkan sebanyak RMB87.02 trilion (RM56.79 trilion) pada tiga suku pertama meningkat tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Antaranya, KDNK suku ketiga menokok 3.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dan 3.5 mata peratusan lebih tinggi daripada suku kedua.

Pada suku ketiga pula nilai tambah industri berskala besar dan pembuatan berteknologi tinggi masing-masing meningkat 4.8 peratus dan 6.7 peratus.

Ia sekali gus menyaksikan pemulihan mantap rantaian perindustrian dan bekalan serta pertumbuhan pesat pengeluaran produk tenaga alternatif seperti pengecas kereta elektrik (EV), Unit Kuasa Angin (WPU) dan sel fotovolta.

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Pembangunan Dewan Negara, Zhang Liqun berkata prestasi itu mencerminkan kekukuhan potensi pertumbuhan ekonomi China. 

“Ia secara tidak langsung membuktikan keberkesanan dasar makroekonomi yang dilaksanakan kami (China) dan turut meningkatkan keyakinan kami,” kata beliau.

Sementara itu, data terkini Jabatan Pentadbiran Am Kastam (GACC) menunjukkan nilai keseluruhan import dan eksport China mencatat RMB31.11 trilion (RM20.30 trilion) pada tiga suku pertama, naik 9.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Antaranya, import dan eksport dengan ASEAN, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan masing-masing menokok 15.2 peratus, sembilan peratus, lapan peratus dan 7.1 peratus.

Untuk tempoh sama, jumlah import dan eksport China dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) mencapai RMB10.04 trilion (RM6.55 trilion) menyaksikan peningkatan sebanyak 20.7 peratus.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *