Daerah Penuh, Apa Pembaharuan Di Putatan?


(Komen: Ketua Biro Masyarakat KDMR, Warisan Putatan, Mathew Yong)

Putatan diiktiraf sebagai Daerah Penuh pada 1 Mac 2007 selepas sebelumnya dibawah pentadbiran Pejabat Daerah Penampang.

Namun, dalam tempoh hampir 15 tahun, proses pemindahan urusan mentadbir daerah ini belum diselesaikan sepenuhnya.

Dengan kepadatan penduduk menjangkau 100 ribu orang, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri menuntut daripada Kerajaan Persekutuan agar status Balai Polis Putatan dinaiktaraf menjadi Ibu Pejabat Daerah (IPD).

Kami juga menyeru agar Putatan mempunyai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sendiri agar penumpuan aspek akademik dan pendidikan dapat diberi tumpuan sepenuhnya.

Sebagai sebuah daerah yang pesat membangun, Putatan seharusnya mempunyai IPD dan PPD sendiri bukan sahaja untuk mengimbangi kepadatan penduduk daerah ini yang semakin meningkat setiap tahun tapi juga untuk menunaikan syarat bagi kawasan yang berstatuskan daerah.

Buat masa ini, Balai Polis Putatan tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menyewa rumah dua tingkat di pekan Putatan sejak 10 tahun yang lepas.

Penaiktarafan ini sudah pasti akan memberi penjimatan jangka panjang banding bayaran sewa bulanan selain boleh menambah bilangan anggota dan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) sesuai dengan demografi Putatan.

Buat masa ini, Balai Polis Putatan adalah dibawah seliaan IPD Penampang yang bertanggungjawap menjaga populasi penduduk hampir 250 ribu orang.

Inisiatif kerajaan ini pasti akan memberi impak penambaikan KPI IPD Penampang yang sudah diketahui umum amat baik dengan penurunan kadar Indeks jenayah yang amat ketara sejak kebelakangan ini.

Sebagai rakyat Putatan yang menghargai sumbangan anggota Polis selama ini, kami gesa kerajaan negeri untuk tidak membutakan mata dan memekakkan telinga dalam isu ini.

Kalau daerah lain yang mempunyai kepadatan penduduk yang jauh lebih kecil daripada Putatan seperti Kunak dan Telupid, boleh memiliki IPD mereka sendiri, kenapa tidak Putatan?

Pada masa yang sama, kami juga berpendapat Putatan seharusnya sudah memiliki Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sendiri untuk mentadbir selia sembilan buah sekolah rendah (termasuk sebuah sekolah agama), tiga buah sekolah menengah (termasuk satu yang masih dalam proses pembinaan) dan sebuah Tingkatan 6 di SMK Putatan.

Pada ketika ini, PPD Penampang mentadbir urus semua sekolah dalam daerah Putatan.

Jumlah murid juga semakin bertambah sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk daerah ini.

Bagi kami sistem pendidikan daerah ini pasti akan menjadi lebih baik selepas mempunyai PPD sendiri kerana PPD Penampang dilihat terlalu sesak dengan jumlah 20 buah sekolah rendah dan empat buah sekolah menengah bagi daerah Penampang sahaja.

Tambahan sebagai sebuah daerah yang mempunyai sejarah pentadbiran selama hampir 15 tahun, adalah tidak masuk akal Putatan masih tidak diberi PPD sendiri.

Ini semua adalah keperluan bagi memenuhi keperluan penduduk yang harus dipandang serius oleh kerajaan.

Dalam jangkamasa yang sama, kami juga berharap agar kerajaan boleh menaiktaraf bangunan khas untuk Tingkatan 6 SMK Putatan bukan sahaja bagi menampung jumlah murid yang sesak dalam kelas yang sempit tapi juga untuk menyediakan tempat yang lebih sesuai dan kondusif daripada bangunan kecil setingkat yang ada sekarang ini.

Sebagai rekod, Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahunan bagi SMK Putatan sering berjaya mencatat keputusan yang cemerlang dan merupakan antara yang terbaik di Sabah.

Dikesempatan ini, kami juga meminta agar nama Sekolah Pendidikan Khas (SPK) Tuaran yang terletak di Kampung Tombovo, dapat ditukar kepada SPK Putatan.

Kami faham bahawa peruntukan pembinaan sekolah ini mulanya diluluskan untuk daerah Tuaran tapi dipindahkan ke Putatan atas sebab tertentu tapi bukankah ianya mengelirukan dan lucu mengekalkan nama daerah lain dilokasi yang berbeza?

Kami menyeru agar semua kekurangan ini dapat tindakan sewajarnya daripada kerajaan negeri untuk melengkapkan proses pemindahan status daerah penuh Putatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.