CUBAAN SELUDUP MINYAK MASAK, PETROL KELUAR SEMPORNA GAGAL


SEMPORNA: Cubaan menyeludup keluar minyak masak dan petrol ke negara jiran gagal, apabila sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu perairan pondohan Kampung Kuala Bibang dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, sebanyak 816 liter minyak masak dan 1,075 liter petrol berjaya dirampas, dipercayai cuba diseludup oleh dua lelaki yang bertindak melarikan diri sebaik sepasukan anggota PPM mengesan kegiatan mereka.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Ariffin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya terserempak dengan suspek yang memunggah barang ke dalam dua bot laju, yang kemudian bertindak melarikan diri dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan ke atas bot laju pertama menemukan 23 ‘jerrycan’ berisi minyak petrol (575 liter) dan 48 kotak berisi 816 peket minyak masak, manakala bot kedua diisi dengan 20 ‘jerrycan’ minyak petrol (500 liter),” katanya.

Ahmad berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk enjin serta bot adalah RM54,018 dan kes diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Semporna untuk tindakan lanjut.

Beliau turut memohon kerjasama semua pihak termasuk komuniti pesisir, untuk melaporkan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang kepada Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197 untuk tindakan segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *