COVID: Sabah rekod kluster kelima libatkan institusi pendidikan


KOTA KINABALU, 22 Jan — Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan institusi pendidikan dengan kes indeks seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang dan tujuh kes positif yang dilaporkan daripada kluster itu setakat hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata Kluster Bypass Kologon-Ranau adalah kluster kelima melibatkan penularan jangkitan di institusi pendidikan di negeri itu dalam tempoh seminggu sejak Ahad lepas.

Beliau berkata kluster itu tercetus selepas kes indeks berusia 16 tahun yang merupakan pelajar yang tinggal di asrama sekolah terbabit disahkan positif COVID-19 pada 19 Jan sebelum enam individu lain turut dijangkiti wabak berkenaan.

“Kes indeks bergejala sejak 17 Jan dan kemudian melakukan ujian saringan kendiri pada tarikh sama. Sebaik didapati positif COVID-19, kes indeks memaklumkan kepada pihak sekolah dan terus dikuarantin sebelum dibawa ke klinik pada 19 Jan bagi melakukan saringan ulangan pengesahan serta disahkan positif.

“Saringan terhadap 70 kontak berjaya mengesan enam lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak tujuh kes. Semua kes dalam kategori ringan (satu dan dua) dan telah diasingkan serta diberi rawatan sesuai,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Sebelum ini, empat kluster melibatkan penularan jangkitan di institusi pendidikan di Sabah masing-masing dilaporkan di Putatan (Kluster Pandan-Pandan), Sandakan (Kluster Jalan Pertukangan), Ranau (Kluster Puri Ranau) dan Tambunan (Kluster Jalan Kepayan Lama).

Masidi, yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, berkata sebanyak 218 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu meningkat kepada 245,473.

Beliau berkata seramai 171 pesakit COVID-19 di Sabah sembuh dan dibenarkan keluar hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 237,684 orang manakala 687 pesakit masih menerima rawatan.

Katanya satu kes kematian dilaporkan hari ini di Papar.

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.