COVID-19: Dua Kluster Baharu Dikesan Di Sabah


Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini menurun  kepada 401 kes, dengan dua kematian dan dua kluster baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kematian hari ini dilaporkan di Lahad Datu.

Dua kluster baharu yang dikesan adalah kluster Ladang Sebrang, Lahad Datu dan kluster Silimpopon, Kalabakan.

Untuk kluster Ladang Sebrang, terdapat sembilan kes baharu dilaporkan dengan bilangan kumulatif sebanyak 21 kes. Kes ini membabitkan pekerja kilang memproses sawit.

Manakala, kluster Silimpopon pula mencatatkan lima kes baharu dengan bilangan kumulatif sebanyak 29 kes positif. Kes indeks kluster ini membabitkan pekerja buruh di sebuah syarikat perladangan.

Masidi berkata, daripada 401 kes baharu hari ini, Tawau kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 108 kes, diikuti Lahad Datu (50), Kota Kinabalu (40), Sandakan (25), Kunak (25), Kalabakan (22), Kota Marudu (21), Kota Belud (15), Putatan (15), Penampang (14), Kinabatangan (12), Keningau (10), Papar (9), Beaufort (8), Ranau (6), Tuaran (4), Nabawan (3), Kudat (3), Beluran (3) dan dua kes di Tambunan, Sipitang dan Kuala Penyu.

Manakala, satu kes di Telupid dan Pitas.

Masidi berkata, daripada 401 kes positif itu, sebanyak 232 kes atau 57.9 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 83 kes, saringan kluster baharu dan kluster sedia ada 25 kes, saringan Perkeso 13 kes, saringan pelajar masuk asrama sembilan kes dan 39 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 380 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 40,929 kes. Kes kematian di Sabah meningkat kepada 307 kes.

Setakat ini, sebanyak 45,409 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,935 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 837 orang di hospital dan 2,079 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 80 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,784 katil dan peratus penggunaan adalah 43.26 peratus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *