Cloud4C mahu tingkatkan kehadiran dalam APAC tahun ini

Oleh Anas Abu Hassan KUALA LUMPUR, 19 Mac -- Penyedia perkhidmatan awan global, Cloud4C, sedang mencari peluang untuk mengukuhkan kehadiran serta geografinya di rantau Asia Pasifik (APAC) khususnya Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Vietnam pada tahun ini. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sridhar Pinnapureddy berkata syarikat itu melihat potensi penggunaan teknologi awan di rantau selepas pengenalan rangkaian generasi kelima (5G). Laporan GlobalData telah memperakui…

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Penyedia perkhidmatan awan global, Cloud4C, sedang mencari peluang untuk mengukuhkan kehadiran serta geografinya di rantau Asia Pasifik (APAC) khususnya Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Vietnam pada tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sridhar Pinnapureddy berkata syarikat itu melihat potensi penggunaan teknologi awan di rantau selepas pengenalan rangkaian generasi kelima (5G).

Laporan GlobalData telah memperakui bahawa rantau APAC merupakan pasaran paling pesat berkembang bagi perkhidmatan berkaitan pengkomputeran awan perusahaan dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 19 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pertumbuhan kami adalah agak luar biasa setakat ini dan jejak global kami memberikan kami pemahaman yang kukuh mengenai rangka kerja pengawalseliaan serta keperluan pematuhan di seluruh dunia.

“Ini meletakkan kami dalam kedudukan yang kukuh bagi membantu pelanggan kami memenuhi piawaian keselamatan serta pematuhan setiap negara, sekali gus, memudahkan operasi perniagaan mereka merentasi pelbagai lokasi geografi,” katanya kepada Bernama.

Menurut Sridhar lagi, rancangan untuk melancarkan rangkaian 5G di Malaysia menjelang akhir 2021 akan merancakkan perkhidmatan awan dengan ketersediaan sambungan berkelajuan tinggi yang meluas.

“Kelebihan dalam kapasiti dan kelajuan sambungan 5G akan dapat memenuhi permintaan perniagaan ke atas pengkomputeran awan, yang akan mewujudkan lebih banyak kes penggunaan untuk pengkomputeran awan dan menggalakkan penggunaan teknologi itu dalam perniagaan.

“Perkhidmatan dan sistem yang bergantung kepada analisis data besar termasuk pemindahan seperti analisis awan atau sistem pengurusan awan akan menjadi benefisiari terbesar kerana ia boleh beroperasi dengan lebih cepat dan lancar dengan sambungan jalur lebar yang lebih laju,” katanya.

Beliau berkata perniagaan berasaskan awan boleh mengakses sistem serta dokumen kritikal perniagaan dan menjalinkan kerjasama dalam masa nyata dari mana-mana lokasi di seluruh dunia.

“Di samping itu, sesebuah syarikat juga boleh memindahkan tugas pengkomputeran yang berat ke awan dan menjimatkan tenaga sambil memberikan pengalaman digital yang terbaik kepada pelanggan dan pengguna.

“Teknologi ini membolehkan pelaksanaan langkah pencegahan yang lebih pantas seperti tembok api maya, menyediakan lebih banyak lapisan keselamatan yang membantu syarikat mematuhi piawaian perlindungan data dan meningkatkan keyakinan pelanggan,” katanya lagi.

MALAYSIAN DAILY NEWS