Calon BN Tambun minta SPR pantau papan iklan gergasi ancam keselamatan


BN Perak meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau kewujudan poster dan papan iklan gergasi yang dilihat mengancam dan membahayakan keselamatan masyarakat di bandar raya ini.

Setiausahanya Aminuddin Md Hanafiah berkata ada bahan kempen PRU15 itu dipasang menggunakan kayu dan besi bagi menguatkan strukturnya yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna.

“Kita minta pemantau SPR lihat setiap binaan itu kerana ada kemungkinan kayu atau bahan lain akan jatuh di atas jalan raya. Sekarang musim hujan. Kita tidak dengki cuma khuatir ia tumbang dan berlaku kecelakaan,” kata calon BN bagi kerusi Parlimen Tambun itu selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Puteri Umno Tambun di Ipoh, hari ini.

Dilapor, beberapa poster dan papan iklan gergasi dipasang di sekitar bandar raya ini khususnya di Meru Raya, Manjoi dan Pekan Tambun sejak proses penamaan calon pada 5 Nov lepas.

Aminuddin yang juga ketua Umno Tambun berkata pihaknya tidak melihat pemasangan iklan gergasi itu sebagai satu keperluan sebaliknya akan menggunakan pendekatan tersendiri dalam mendekati pengundi di Tambun.

Sementara itu, Pengarah SPR negeri Mohd Nazri Ismail berkata saiz iklan tersebut tidak menjadi isu asalkan ada nama penerbit dan tidak dipasang di lokasi yang membahayakan orang lain selain kandungan juga tidak boleh berbentuk provokasi atau fitnah kepada individu.

“Setiap hari pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya membuat kerja…yang salah akan diberikan notis dan jika tidak, akan diturunkan oleh wakil calon atau Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya,” katanya.

Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Aminuddin, penyandangnya Ahmad Faizal Azumu daripada PN, Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Abdul Rahim Tahir daripada Pejuang.

-Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *