‘Cadangan Pertonas ambil alih Sapura perlu lihat prestasi kewangan negara’


Kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu prestasi kewangan negara walaupun terdapat cadangan supaya Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengambil alih Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) untuk mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu diisytihar muflis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pertimbangan lebih teliti terhadap cadangan itu perlu dibuat berikutan industri minyak dan gas merupakan satu industri strategik, dan Sapura Energy merupakan sebuah syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia.

“Jadi bantuan itu (cadangan) walaupun tidak melibatkan wang kerajaan, namun Petronas milik kerajaan maka kerajaan perlu melihat lebih teliti sebelum keputusan diambil.

“Kita sedia maklum banyak lagi syarikat kecil dan sederhana dalam industri turut terjejas dan Sapura Energy antara syarikat besar yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jambatan Sungai Nibong, Kuala Balah di Jeli hari ini.

Cadangan pengambilalihan Sapura Energy oleh Petronas itu disyorkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika program Debat Perdana di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mustapa berkata syarikat kecil dan sederhana telah melakukan perjumpaan dengannya dan menceritakan masalah yang dihadapi khususnya apabila harga minyak merudum sejak penularan COVID-19.

“Kita faham mereka menghadapi masalah, kita faham industri ini strategik, ramai pekerja dan ada banyak syarikat kecil dan sederhana. Saya telah berjumpa mereka, mereka juga memohon bantuan daripada kerajaan, jadi apabila kita mahu mengambil tindakan, kita perlu melihat keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai Jambatan Sungai Nibong yang dirasmikannya hari ini, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata penantian 40 tahun 6,000 penduduk Kampung Kuala Balah kini berakhir apabila kerajaan meluluskan pembinaan jambatan bernilai RM10.17 juta itu.

“Projek membina Jambatan Sungai Nibong sepanjang 237 meter itu sudah bermula sejak Mac lepas dan dijangka siap pada Mac 2024..

“Jambatan yang menghubungkan Kuala Balah dengan kawasan ladang itu amat penting bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat serta memudahkan mereka mengeluarkan hasil getah dan kelapa sawit,” katanya.

Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.