Bursa Malaysia ditutup rendah empat hari urus niaga berturut-turut


Dagangan di Bursa Malaysia terus merosot untuk ditutup rendah petang ini, diheret turun oleh kegiatan penjualan yang membabitkan kaunter berwajaran tinggi didahului oleh Kuala Lumpur Kepong (KLK).

Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 14.62 mata kepada 1,555.51 berbanding penutupan Isnin pada paras 1,570.13.

Indeks utama itu yang dibuka 0.58 mata lebih rendah pada 1,569.55, berlegar antara 1,548.89 dan 1,573.18 di sepanjang urus niaga.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 716 berbalas 339 sementara 424 kaunter tidak berubah, 789 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 4.66 bilion unit bernilai RM3.01 bilion daripada 4.01 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Isnin.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ekuiti Malaysia berakhir rendah di tengah-tengah sentimen bercampur, sama seperti prestasi pasaran serantau kerana pelabur menantikan data inflasi AS yang terkini.

“FBM KLCI ditutup rendah untuk hari keempat berturut-turut, kehilangan 0.93 peratus dengan kegiatan jualan yang ketara membabitkan saham-saham perbankan.

“Namun begitu, dengan sokongan belian daripada dana asing, kami percaya indeks penanda aras akan didokong dengan baik pada tahap semasa,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah pada penilaian semasa, beberapa aktiviti membeli saham murah dijangka muncul dan FBM KLCI diunjur berlegar antara 1,560-1,580 untuk baki minggu urus niaga ini.

Pada penutupan, 20 daripada 30 saham komponen FBM KLCI mencatatkan dagangan rendah sementara tujuh kaunter memperoleh kenaikan dan tiga yang lain tidak berubah.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.29, Public Bank berkurangan enam sen kepada RM4.00, Petronas Chemicals jatuh tujuh sen kepada RM7.92 dan Press Metal Aluminium merosot 23 sen kepada RM5.58.

Bagi kaunter aktif, Kanger International susut setengah sen kepada 5.5 sen, KNM Group, Avillion dan Serba Dinamik masing-masing merosot satu sen kepada 27 sen, 14.5 sen dan 36 sen.

Saham paling kerugian termasuk KLK yang turun 42 sen kepada RM20.42, diikuti oleh Hong Leong Bank menyusut 34 sen kepada RM18.46, serta Aeon Credit Service jatuh 28 sen kepada RM11.82.

Antara saham yang mencatatkan keuntungan pula adalah Nestle yang mengembang 80 sen kepada RM134.80, D&O Green Technologies melonjak 40 sen kepada RM5.55 dan Daibochi meningkat 30 sen kepada RM2.69.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 86.51 mata kepada 11,394.80, Indeks FBMT 100 menguncup 84.89 mata kepada 11,087.80 dan Indeks FBM Emas Syariah melorot 78.57 mata kepada 12,491.04.

FBM 70 merosot 39.20 mata kepada 14,959.42 sementara FBM ACE susut 79.82 mata kepada 7,139.29.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 78.68 mata kepada 6,502.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 2.70 mata kepada 197.94, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan dengan ketara sebanyak 173.73 mata kepada 15,199.82.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.79 bilion saham bernilai RM2.67 bilion daripada 2.41 bilion saham bernilai RM2.05 bilion pada hari Isnin.

Perolehan waran mengembang kepada 430.28 juta unit bernilai RM65.47 juta berbanding 378.50 juta unit bernilai RM62.16 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE lebih tinggi kepada kepada 1.41 bilion saham bernilai RM282.02 juta daripada 1.17 bilion saham bernilai RM289.66 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna menguasaia 616.06 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (954.72 juta), pembinaan (126.57 juta), teknologi (219.88 juta), SPAC (kosong), perkhidmatan kewangan (87.15 juta), hartanah (152.03 juta), perladangan (47.38 juta), REIT (8.40 juta), dana tertutup (11,400), tenaga (354.01 juta), penjagaan kesihatan (92.31 juta), telekomunikasi dan media (49.71 juta), pengangkutan dan logistik (62.42 juta) dan utiliti (18.05 juta).

– Bernama



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *