Bomoh didakwa lakukan jenayah seksual terhadap pesakit


Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pesakit wanita.

Bagaimanapun tertuduh, Wan Ismail Wan Md Zain, 53, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.

Mengikut pendakwaan, tertuduh melakukan perhubungan seksual terhadap mangsa wanita berusia 28 tahun tanpa kerelaannya dalam kejadian di sebuah bilik rumah di Kampung Permatang Pusu, Kota Bharu, jam 8.50 malam pada 12 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebat.

Terdahulu, Roshayati memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan tertuduh perlu menanggung empat orang anak.

Mahkamah menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis setiap awal bulan serta tidak menganggu mangsa.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 23 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *