Blue Ring Reef Bukan Produk Pelancongan Baharu Negara, Tidak Sesuai Dinamakan Blue Ring Hole


Glen Hapirulla

LAHAD DATU: Seorang pengusaha pelancongan tempatan di sini, Glen Hapirulla, kesal terhadap pengumuman kerajaan untuk menamakan “Blue Ring Reef” atau Terumbu Lingkaran Biru yang ditemui beliau pada 2017 sebagai “produk pelancongan baharu negara” yang dikenali “Blue Ring Hole”.

Glen yang mengusahakan Pirate Divers, Lahad Datu, dan juga seorang jurulatih selam skuba berkata penggunaan nama ‘Blue Hole’ atau lubang biru adalah tidak sesuai kerana boleh mengelirukan penyelam luar negara yang menyamakannya dengan ‘Blue Hole’ di negara-negara lain.

Beliau menyatakan kekesalannya menerusi satu hantaran di laman media sosialnya.

Pada 28 April lalu, Bernama melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenal pasti tapak selaman skuba yang ikonik dikenali sebagai Blue Ring Hole di Terumbu Tingkayu, Teluk Darvel di Lahad Datu sebagai produk pelancongan baharu negara.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata difahamkan hanya terdapat 10 tapak Blue Hole di seluruh dunia dengan masing-masing mempunyai satu struktur lubang biru, tetapi di Lahad Datu ia lebih menarik kerana Blue Ring Hole ditemukan dengan dua struktur lubang biru.

Menurut Glen, secara amnya “Blue Hole” merujuk kepada struktur permukaan dasar laut yang berlubang dengan kedalaman drastik mencecah 100 meter seperti “The Blue Hole of Belize” berbanding Blue Ring Reef yang mempunyai kedalaman 24 meter sahaja.

Katanya, produk “Blue Ring Reef” juga telah lama dipromosikan sejak penemuan olehnya pada tahun 2017 dan telah dibawa ke peringkat antarabangsa oleh bekas Menteri Pelancongan terdahulu yang juga berasal dari Lahad Datu.

“Saya berpendapat bahawa ianya kurang sesuai dipromosikan sebagai penemuan baru oleh pihak kementerian. Sebaliknya, usaha berterusan untuk mempromosikan keunikan dasar laut beserta 60 lebih tapak selam di sekitarnya harus diberi perhatian.”

Blue Ring Reef

“Pihak kementerian seharusnya turun padang dan merasai sendiri pengalaman menyelam bagi memahami sepenuhnya potensi industri menyelam di Lahad Datu sebagaimana yang pernah dibuat pada tahun 2017 melalui program End In Sipadan Diving Trail yang mengangkat Teluk Silam sebagai salah satu destinasi singgah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Glen turut berharap agar pengusaha pelancongan sepertinya diberi peluang untuk menikmati insentif yang diumumkan oleh Kementerian Pelancongan.

“Namun syarat-syarat permohonan yang dinyatakan tidak memihak kepada pengusaha kecil seperti kami.

“Mengapakah komitmen tidak dijadikan sebagai salah satu kriteria utama?” soalnya.

Menurut Glen, Pirate Divers adalah operator selam skuba tempatan yang telah menunjukkan prestasi turun naik dalam industri pelancongan sejak 10 tahun yang lalu dengan menerokai lebih 60 tapak selam skuba sehingga membawa kepada penemuan Blue Ring Reef.

“Adakah tidak wajar sekiranya kami diberikan sedikit insentif atas komitmen dan usaha kami selama ini?”

“Bagaimanapun, saya tetap akan meneruskan penerokaan dasar laut ini dengan bantuan dan sokongan daripada penyelam dan rakan-rakan yang lain kerana Blue Ring Reef bukanlah satu-satunya stuktur unik di Lahad Datu.”

“Ini juga merupakan salah satu usaha untuk membuang persepsi buruk terhadap Lahad Datu sebagai kawasan yang dianggap tidak selamat oleh pelancong luar,” katanya.

Sebelum ini pada 2019, Blue Ring Reef hangat diperkatakan apabila ia didakwa penemuan baharu oleh Taman-Taman Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *