BERNAMA – Semakan Akta MPTN 1996 dijangka siap Oktober ini


KUALA LUMPUR, 22 Sept — Semakan ke atas Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) 1996 (Akta 546) oleh Jabatan Peguam Negara mengenai lantikan ahli MPTN dan Lembaga Pengarah Universiti dijangka siap pada Oktober ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata semakan itu dibuat melalui kuasa yang diperuntukkan kepada Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang di bawah Akta Penyemakan Undang-undang 1968.

“MPTN ditubuhkan di bawah Akta 546 dan berfungsi untuk merancang, membentuk dan menentukan dasar nasional bagi pembangunan pendidikan tinggi. Buat masa ini, Akta 546 menyatakan pengerusi MPTN merupakan Menteri Pendidikan.

“Justeru, proses itu adalah untuk memperkasakan semula MPTN menghadapi cabaran berikutan fungsi menteri bertanggungjawab adalah bukan menteri yang bertanggungjawab ke atas pendidikan tinggi,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata memandangkan proses semakan akta itu mungkin mengambil masa, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menubuhkan secara pentadbiran Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (JPPT) yang menjalankan sebahagian daripada fungsi MPTN.

Noraini berkata komposisi keahlian JPPT adalah sama seperti keahlian MPTN dengan tambahan ahli iaitu Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan jawatankuasa itu telah bersidang buat pertama kalinya pada 22 Julai lepas.

“Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah penjanaan pendapatan universiti awam, succession plan di universiti awam, pengajaran dan pembelajaran masa hadapan, kebolehpasaran graduan, pengoperasian IPT (institut pengajian tinggi) dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta isu penting berkenaan pendidikan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pelan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau Sejahtera IPT, yang bertujuan meneruskan momentum kecemerlangan IPT yang terkesan akibat pandemik COVID-19, dijangka siap sepenuhnya pada awal 2022.

Katanya, Sejahtera IPT merangkumi tujuh strategi utama iaitu memperkukuhkan ekosistem yang selamat, memperkukuh kebolehpasaran graduan, memperkasa agenda pendigitalan, memantapkan jaringan kolaborasi strategik, memacu kesejahteraan komuniti, mempersada kecemerlangan institusi dan menyemarak semangat KPT Prihatin.

“Sejahtera IPT juga dijajarkan dengan dasar dan hala tuju semasa kerajaan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pendidikan Tinggi, Keluarga Malaysia KPT Prihatin, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 


 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.