BERNAMA – Pengeluaran getah asli susut 26.8 peratus pada November 2021

KUALA LUMPUR, 14 Jan -- Pengeluaran getah asli Malaysia merosot sebanyak 26.8 peratus kepada 31,577 tan pada November 2021 berbanding 43,127 tan pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia. Menurut laporan Perangkaan Getah Bulanan November 2021 yang dikeluarkan hari ini, perbandingan tahunan turut menunjukkan pengeluaran berkurangan sebanyak 25.8 peratus berbanding 42,554 tan pada November 2020.…

KUALA LUMPUR, 14 Jan — Pengeluaran getah asli Malaysia merosot sebanyak 26.8 peratus kepada 31,577 tan pada November 2021 berbanding 43,127 tan pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut laporan Perangkaan Getah Bulanan November 2021 yang dikeluarkan hari ini, perbandingan tahunan turut menunjukkan pengeluaran berkurangan sebanyak 25.8 peratus berbanding 42,554 tan pada November 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penyusutan pengeluaran itu disebabkan oleh gangguan bekalan di peringkat penawaran akibat ketidaktentuan cuaca serta faktor taburan hujan yang tinggi.

“Jumlah stok getah asli susut 4.2 peratus kepada 269,757 tan pada November 2021 berbanding 281,718 tan pada Oktober 2021.

“Kilang pemprosesan getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.0 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.9 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, pengeluaran pada November lepas disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (89.8 peratus) berbanding sektor estet sebanyak (10.2 peratus).

Selain itu, beliau berkata prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia dalam tempoh sebelas bulan pertama 2021 menyaksikan penyusutan sebanyak 7.7 peratus iaitu 429,062 tan berbanding 464,878 tan pada tempoh sama 2020.

Eksport getah asli turun 2.0 peratus kepada 60,942 tan pada November 2021 berbanding 62,167 tan pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 44.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2021 diikuti Amerika Syarikat (11.4 peratus), Jerman (5.1 peratus), Iran (4.0 peratus) dan Finland (3.7 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.5 bilion pada November 2021, susut sebanyak 4.9 peratus berbanding RM2.6 bilion pada Oktober 2021,” katanya.

Mohd Uzir berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat mencatat peningkatan sebanyak 6.2 peratus kepada 553.64 sen sekilogram pada November lepas berbanding 521.20 sen sekilogram pada Oktober 2021.

Keadaan sama turut melibatkan semua jenis Getah Mutu Malaysia (SMR) yang meningkat antara 1.1 hingga 6.1 peratus, kata beliau.

Ikuti kami di media sosial :Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradioTwitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradioInstagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficialTikTok : @bernamaofficial

MALAYSIAN DAILY NEWS