BERNAMA – Pejabat NIOSH Kapit penuhi keperluan latihan tenaga kerja projek mega
KAPIT (Sarawak), 20 Nov -- Pembukaan pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini mampu memenuhi keperluan ribuan tenaga kerja dalam projek mega seperti Empangan Hidroelektrik Baleh yang membabitkan aspek latihan kursus pekerjaan dan keselamatan. Pengerusi NIOSH Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata pejabat cawangan keempat di Sarawak selepas Kuching, Bintulu dan Miri itu akan menyediakan…
KAPIT (Sarawak), 20 Nov — Pembukaan pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini mampu memenuhi keperluan ribuan tenaga kerja dalam projek mega seperti Empangan Hidroelektrik Baleh yang membabitkan aspek latihan kursus pekerjaan dan keselamatan.
Pengerusi NIOSH Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata pejabat cawangan keempat di Sarawak selepas Kuching, Bintulu dan Miri itu akan menyediakan kemudahan seperti latihan keperluan perundangan, kesedaran dan induksi keselamatan pasport keselamatan.
Beliau berkata ia juga merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan dan kepakaran berhubung aspek kesihatan serta keselamatan pekerjaan kepada masyarakat dan industri di kawasan itu.
“Sebelum NIOSH didirikan di Kapit, majikan dan pekerja terpaksa berulang-alik sama ada ke Miri, Bintulu atau Kuching. Ini melibatkan kos agak tinggi dan mengambil masa berminggu-minggu untuk menyelesaikan sesuatu latihan.
“Sebab itu kita wujudkan cawangan di sini yang merupakan pejabat NIOSH pertama di kawasan pedalaman Sarawak yang turut memberi khidmat nasihat dan rundingan selain menganjurkan program kesedaran,” kata Ahli Parlimen Hulu Rajang itu.
Wilson berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian pejabat itu yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kapit merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.
Ikuti kami di media sosial :Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradioTwitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradioInstagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficialTikTok : @bernamaofficial