BERNAMA – PAFA digantung enam bulan


IPOH, 7 Mac — Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) digantung enam bulan ekoran pelanggaran perlembagaan persatuan sewaktu pemecatan keahlian 12 gabungan badan sukan tersebut, sebelum ini.

Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof berkata penggantungan itu antara lain bagi memberi ruang dan peluang kepada PAFA untuk menubuhkan barisan jawatankuasa baharu dan menyelesaikan kemelut pengurusan bola sepak negeri berkenaan.

“Susulan terdapat pelanggaran PAFA sewaktu pemecatan ahli gabungan, didapati ia tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan persatuan. Kita tiada pilihan dan perlu menggantung PAFA bagi memastikan pihak tersebut melakukan langkah pemulihan semula supaya kembali ke landasan.

“Penggantungan tersebut disyorkan selama enam bulan supaya ada masa untuk menubuhkan ahli jawatankuasa baharu selain memberi maklum balas kepada kami dalam tempoh 14 hari. Notis penggantungan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Keputusan penggantungan itu dicapai dalam satu mesyuarat hari ini yang dihadiri Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian Tajul Hasnan mewakili ahli gabungan yang dipecat dan Pemangku Presiden PAFA Datuk Muhammad Yadzan Mohammad.

Pada 25 Nov lepas, Muhammad Yadzan pada sidang akhbarnya mengumumkan pemecatan 12 ahli gabungan PAFA dan mendakwa kumpulan itu merancang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam masa terdekat.

Dakwanya, pemecatan itu berikutan pelanggaran Artikel 80 Perlembagaan PAFA mengenai keahlian yang menyatakan tiada ahli gabungan yang boleh menjadi ahli dua persatuan memandangkan sebelum ini 12 daripada 18 ahli mendesak mengadakan EGM.

‘Kumpulan 12’ ahli gabungan tersebut adalah Persatuan Bola Sepak (PB) Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian dan PB Melayu Perak.

Pada 19 Dis pula, ‘Kumpulan 12’ itu kemudian mengadakan EGM dan memilih Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Hilir Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin sebagai Presiden PAFA yang baharu.

Mengulas mengenai kongres tersebut, Ibrahim berkata ia tidak terpakai kerana masalah teknikal kelayakan ahli gabungan yang didapati tidak membayar yuran PAFA sekali gus tidak layak mengadakan EGM.

“Susulan itu, kita memutuskan Jawatankuasa PAFA yang sah dipilih adalah pada sesi 2018-2021 seperti pemilihan sebelum ini,” katanya yang turut mencadangkan agar EGM akan datang perlu melibatkan ‘Kumpulan 12’ dalam memilih jawatankuasa baharu demi kemajuan bola sepak Perak.

— BERNAMA

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published.