BERNAMA – Malaysia perlu jalin kerjasama dengan negara lain untuk tambah baik ilmu al-Quran


KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Malaysia boleh menjalin kerjasama dengan negara Islam lain dalam menambah baik ilmu al-Quran, kata seorang daripada hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 hari ini.

 Syeikh Dr Mohamed Ali Atafay berkata umat Islam di Malaysia boleh mendalami ‘manhaj’ atau metodologi menghafal kitab suci itu yang diguna pakai di negara Islam lain untuk meningkatkan penguasaan ilmu tersebut.

Beliau menzahirkan rasa kagum apabila mengetahui ilmu hafalan al-Quran begitu dekat di hati umat Islam di negara ini kerana ia diterapkan sejak usia muda. 

“Bahkan bila saya berjumpa orang ramai di negara ini, mereka tahu bahawa saya berada di Malaysia untuk menjadi hakim MTHQA, jarang-jarang saya jumpa sambutan sebegini di negara lain,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini. 

Syeikh Mohamed Ali, yang berasal dari Maghribi, berkata seramai 36 qari dari seluruh dunia telah terpilih untuk menyertai pertandingan MTHQA pada tahun ini. 

Beliau berkata antara kriteria utama yang difokuskan ialah penguasaan tajwid, kefasihan dalam sebutan ayat, maqamat atau taranum serta kemerduan alunan suara yang ditampilkan peserta. 

“Kebiasaannya yang memenangi pertandingan di Malaysia berpotensi besar memenangi pertandingan lain kerana Malaysia sudah lama menganjurkan pertandingan ini dan saya yakin barisan hakim juga amat berpengalaman luas dalam pengkhususan bidang masing-masing seperti taranum, tajwid serta qiraat.

“Saya berharap Malaysia dapat meneruskan penganjuran supaya negara ini terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman dan konspirasi selain melahirkan lebih ramai hufaz yang akan menjadi pelapis pada masa akan datang,” katanya. 

Dr Maria Ulfa, yang merupakan wanita pertama menjadi hakim MTHQA, pula memuji keterbukaan Malaysia dalam memilih panel bagi mengadili pertandingan itu. 

Beliau berkata penglibatan dua hakim wanita termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff menunjukkan Malaysia mengamalkan kesaksamaan jantina yang harus dicontohi.

“Dahulu walaupun ramai peserta wanita tetapi tidak ada hakim wanita. Ini membuktikan Malaysia telah ke hadapan sebagai sebuah negara,” katanya yang pernah menjuarai MTHQA pada 1980.

MTHQA 2022 bakal melabuhkan tirai esok dan orang ramai yang ingin menyaksikan pertandingan itu dijemput hadir secara fizikal di Dewan Pleno, KLCC atau menonton siaran langsung menerusi RTM TV1 dan media sosial JAKIM. 

— BERNAMA



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *