BERNAMA – Gerakan minta ahlinya fokus PRN tahun depan


KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) — Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai meminta ahlinya supaya mula memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan di enam negeri pada tahun depan.

Lau berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir jentera parti itu kini bersedia menghadapi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Beliau juga berkata pada  PRU15 baru-baru ini, sokongan pengundi terhadap parti itu dan Perikatan Nasional (PN) meningkat.

“Kami mendapati bahawa 34 peratus pengundi kali pertama, terutama orang Melayu, telah memberi undi dan sokongan kepada PN.

Selain itu, undi diperoleh daripada rakyat juga meningkat kepada calon Gerakan pada PRN Melaka dan Johor lepas,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kajian semula pasca PRU15 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Lau berkata parti berkenaan juga akan berkempen membantu calon PN di kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang yang ditangguhkan sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 6 Dis bagi kerusi itu.

— BERNAMA

 

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *