BERNAMA – Aliran bebas pelbagai lorong tol Pada 2025, kurangkan kesesakan


KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan tersebut telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Beliau berkata dengan pelaksanaan MLFF, kenderaan tidak perlu berhenti untuk membayar tol dan tiada palang tol.

“Seterusnya adalah rundingan bersama semua syarikat konsesi tol mengenai bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya.

“Selepas itu, bagaimana kita integrasikan daripada sistem MLFF… kita akan mewujudkan command centre (pusat arahan) diuruskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang perlu integrasi dengan semua majlis perbandaran atau bandar raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Media di sini malam ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurut Fadillah, MLFF merupakan antara inisiatif di bawah Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2019-2023 KKR yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memacu pembangunan aplikasi ITS di negara ini.

Selain itu, Fadillah memaklumkan KKR juga telah memulakan proses membangunkan penimbang berat kenderaan bagi mengesan lori lebih muatan yang boleh menjadi punca kesesakan dan kerosakan jalan raya.

Beliau berkata ia bagi mengesan had muatan secara automatik dan tindakan undang-undang akan terus dikenakan kepada syarikat lori tersebut.

Sementara itu, Fadillah berkata kementeriannya akan memfokuskan isu keselamatan jalan raya seperti yang dibincangkan pada Persidangan Dunia ITS kali ke-28 dari 19 hingga 22 Sept lepas di Los Angeles, Amerika Syarikat.

— BERNAMA

 

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *