Berhentilah berniaga, bersaing dengan rakyat


Sebagai ‘menyahut seruan’ menteri besar supaya rakyat mencipta pekerjaan sendiri, Pemuda Amanah Terengganu memberikan beberapa peringatan kepada kerajaan negeri pimpinan Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketuanya Zamir Ghazali berkata hampir 90 peratus pembangunan ekonomi Terengganu dipacu oleh kerajaan negeri bukannya pihak swasta dan usahawan setempat.

Katanya, kesemua itu hadir sama ada melalui projek-projek melalui Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (Upen) Terengganu ataupun syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Peringatan untuk Ahmad Samsuri ialah, berhentilah menubuhkan lagi anak-anak syarikat kerajaan negeri dengan alasan mahu menyediakan peluang kerja, sebaliknya besarkan dana untuk progaram keusahawanan sama ada melalui pinjaman, geran dan subsidi.

“Rakyat tidak mahu lagi melihat syarikat seperti Pertima, Top IT, Terengganu Agritech Development Corporation (TADC) dan Chicken Cottage yang berniaga sekali gus bersaing dengan perusahaan rakyat.

“Rakyat Terengganu bukanlah bodoh sehingga tidak tahu mencipta dan menjual sardin, kicap, sos, ayam goreng, menanam rumput napier, dan menternak ayam atau kambing sehingga kerajaan negeri menubuhkan syarikat untuk itu,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Zamir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Samsuri yang dilaporkan menyeru rakyat Terengganu agar mencipta peluang pekerjaan sendiri bagi menghadapi suasana ekonomi selepas tempoh pandemik Covid-19.

Menurut Ahmad Samsuri, iklim pekerjaan dunia hari ini amat berbeza berbanding 10 tahun lepas dengan peluang lazimnya disedia dan ditawarkan oleh sesebuah organisasi atau syarikat kepada orang ramai.

Justeru, kata naib presiden PAS itu lagi, rakyat Terengganu perlu lebih kreatif dan berinisiatif untuk mencipta peluang pekerjaan sendiri sama ada sebagai pelengkap kepada industri sedia ada atau mencipta pasaran baru.

Bukan fungsi sepatutnya

Zamir berkata, kewujudan GLC Terengganu sering berberakhir dengan penutupan operasi sedangkan perniagaan mereka dijalankan menggunakan wang rakyat.

“Rakyat berniaga pakai duit sendiri, kerajaan negeri berniaga pakai duit rakyat. Lebih malang lagi, kerajaan negeri bersaing pula dengan perniagaan rakyat.

“Rakyat yang diberi kemudahan hutang pinjaman, jika tidak bayar dikejar dengan surat mahkamah tapi kalau anak syarikat kerajaan negeri kerugian, ditambah pula peruntukan pada tahun-tahun berikutnya.

“Ironinya, perniagaan rakyat tidak ditutup sebaliknya GLC Terengganu dengan modal berjuta-juta pula yang tutup,” katanya.

Menurut Zamir jika Terengganu serius mahu membangunkan ekonomi negeri seperti dizahirkan Ahmad Samsuri, langkah awal perlu diambil kerajaan ialah berhenti bersaing dengan rakyat.

“Itu bukan fungsi kamu,” katanya.

Tambahnya lagi Pemuda Amanah Terengganu turut kesal apabila kerajaan negeri lebih mementingkan ‘pemain import’ – termasuk seorang warga England – untuk mengisi jawatan tinggi dalam GLC Terengganu.

Mengulangi pendedahan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said, Zamir berkata, warganegara England itu dilantik sebagai pengerusi di enam buah syarikat dan pengarah di enam buah syarikat lain dengan gaji keseluruhan berjumlah RM650,000 setahun.

“Apakah basak (tidak kompeten atau lemah) sangat anak Terengganu sampai tak ada yang mampu mengisi pelbagai jawatan kosong itu?” katanya.

Tidak terhenti setakat itu, menurut Zamir, kerajaan negeri juga menubuhkan pelbagai agensi yang lebih bersifat politik dan kakitangannya dibayar gaji menggunakan dana awam.

Agensi itu, katanya, ialah seperti Unit Penerangan Darul Iman (Updi), NGO diketuai bekas pemimpin Pemuda PAS negeri, dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS ).

“Semua ini adalah demi memposisikan ahli-ahli PAS dalam pentadbiran dan membolehkan mereka berhurung di sana-sini,” ujarnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.