Bayi Enam Bulan Maut, Ibu Hampir Putus Telinga Ditetak


KINABATANGAN: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan maut manakala, ibunya hampir putus telinga akibat ditetak oleh bapa saudara kepada ibu mangsa di Kampung Ubi Sungai Pauh pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, atuk saudara bayi tersebut difahamkan bertindak menetak mangsa dan ibunya dan motif serangan masih dalam siasatan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superitendan Dzulbaharin Ismail berkata, pemeriksaan awal mendapati, bayi tersebut mengalami kecederaan pada bahagian kepala kesan daripada tetakan manakala, ibu mangsa cedera di bahagian belakang tengkuk dan telinga kirinya hampir putus.

Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa ketibaan pasukan polis di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh orang awam dan suspek yang berusia 60-an yang merupakan warganegara Filipina berjaya ditangkap di sebuah kebun sawit di lokasi yang sama, pada hari yang sama.

Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk siasatan selanjutnya dan suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Jelas beliau, motif serangan terhadap kedua-dua mangsa masih dalam siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan , IPD Kinabatangan memohon kerjasama orang ramai yang mengenali penama bernama Ismail Santaro dan Ana Farhana Musa agar memberitahu penama bahawa mereka adalah saksi penting perbicaraan kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Sandakan.

“Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua saksi ini untuk memaklumkan kepada bilik gerakan IPD Kinabatangan di talian 089-561890 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kinabatangan Asisten Superitendan Razali Basa di talian 019-6217357,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.