ASEAN, India bincang semakan semula perjanjian perdagangan, COVID-19


NEW DELHI, 14 Sept — Aspek semakan semula perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan kerjasama berkaitan COVID-19 merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat menteri-menteri ekonomi India dan ASEAN secara maya pada Selasa.

Sesi perbincangan India-ASEAN itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri India Anupriya Patel serta Menteri Kewangan dan Ekonomi Brunei Darussalam Datuk Dr Amin Liew Abdullah manakala Malaysia diwakili oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Mohamed Azmin, terdapat potensi besar yang boleh ditinjau oleh kedua-dua pihak selain dapat mengembangkan lagi peluang perdagangan dan pelaburan.

“Sehubungan itu, sektor swasta perlu terus memainkan peranan aktif untuk memperhebat dan membangunkan sinergi perniagaan, aktiviti dan inisiatif strategik lain,” kata beliau menerusi catatan terbaharu di Twitter.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan India dalam satu kenyataan berkata barisan menteri terbabit turut mengetengahkan perkembangan semasa berkaitan pandemik dan mengulangi komitmen mereka untuk bertindak secara kolektif dalam mengurangkan impaknya bagi memastikan bekalan rantaian terus berdaya tahan di rantau tersebut.

Kedua-dua belah pihak juga membincangkan perubahan dalam aturan perdagangan berkaitan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) yang telah dimeterai pada Ogos 2009 dan berkuat kuasa pada Januari 2010.

Menurut kenyataan itu, menteri-menteri terbabit akan bertindak melengkapkan proses semakan semula “dengan segera untuk memastikan perjanjian berkenaan mesra pengguna dan mengikut keadaan semasa” serta memperkemas aspek prosedur kastam yang berkaitan.

India turut mencadangkan agar kedua-dua pihak dapat meneruskan usaha supaya pengumuman mengenai semakan semula itu dapat dibuat sebelum akhir tahun ini.

— BERNAMA

 



Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *