APM Terengganu rancang laksana empat projek pembangunan


KUALA NERUS, 22 Jan  — Empat projek pembangunan bakal dilaksanakan dalam tempoh dua tahun (2021 hingga 2022) untuk meningkatkan kemahiran serta kualiti perkhidmatan petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Terengganu.

Pengarahnya Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, projek utama ialah menjadikan sebuah pulau di Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu sebagai pulau angkat APM, untuk dijadikan pusat latihan luar pegawai dan anggotanya.

“Kita telah mohon peruntukan sebanyak RM2 juta dari Jabatan Perdana Menteri, bagi membangunkan fasiliti untuk tujuan latihan, agar pegawai dan anggota APM mampu menjalani latihan yang lebih sistematik di pulau itu.

“Projek seterusnya pula ialah mewujudkan pusat latihan penyelamat pantai di Pantai Pandak, Chendering; pusat latihan air dan skuba di Pulau Bidong; dan pejabat baharu APM di Pulau Redang,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Media di sini, semalam.

Che Adam berkata kesemua empat projek pembangunan tersebut diharap, mampu meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan APM kepada rakyat, terutama ketika berlakunya bencana alam atau kes kecemasan yang lain.

Ditanya mengenai penglibatan APM dalam pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula,  beliau berkata seramai 200 anggota akan bertugas di lapan daerah di seluruh Terengganu, untuk operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata penugasan pasukan penyelamat di pantai akan bermula pada awal Mac depan, di beberapa pantai utama Terengganu seperti di Bukit Kluang, Besut; Pulau Kekabu, Marang; Pulau Redang, Setiu; dan Pantai Pandak di Kuala Terengganu.

“Ketika ini, Terengganu masih berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut dan kita jangka pada awal Mac akan bermulanya Monsun Barat Daya, yang mana lazimnya pantai-pantai di negeri ini menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan aktiviti riadah dan rekreasi, justeru pemantauan perlu dilakukan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *