AirAsia benarkan batal perjalanan | Harian Metro


Kuala Lumpur: Bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 13 hingga 26 Januari 2021, AirAsia membenarkan penumpang yang mempunyai tempahan penerbangan pada tarikh berkenaan untuk membatalkan perjalanan mereka.

AirAsia dalam kenyataan berkata, bagi penumpang yang mempunyai perjalanan penting dalam tempoh ini, mereka perlu mendapatkan kebenaran yang sah daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berlepas.

“Penumpang juga perlu mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan oleh negeri-negeri tertentu,” katanya.

Menurutnya, penerbangan domestik AirAsia di Malaysia tetap beroperasi, namun penumpang boleh membatalkan tempahan mereka dan memilih untuk mengubah tarikh.

“Kami menyediakan perubahan tarikh penerbangan tanpa had sebelum 31 Mac 2021 di laluan yang sama tanpa bayaran tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

“Ia boleh dilakukan dengan menghubungi AVA di support.airasia.com, airasia.com atau WhatsApp untuk membuat pilihan dengan mengikuti langkah-langkah yang dinyatakan.

“Penumpang yang terjejas akan segera dimaklumkan melalui e-mel dan/atau SMS mengenai pilihan yang ditawarkan kepada mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *