KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Ablr, sebuah syarikat fintech yang menyediakan perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) berhasrat untuk mengubah landskap pembayaran di Malaysia dengan pelan pembayaran yang memiliki fleksibiliti terbesar di pasaran setakat ini.
Ketua Eksekutif Pejabat Ablr Malaysia, Amanda Chin berkata sebagai menandakan penampilan sulungnya di Malaysia, syarikat itu menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan peningkatan kehidupan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang semakin berkembang.
“Selain mencari tawaran yang hebat, pengguna sering mahu meneroka kaedah pembayaran yang mesra bajet, mudah, selamat serta mampan.
“Sekarang, pengguna boleh membayar dengan ansuran bulanan yang mudah dan tetap dari 30 hari hingga 60 bulan, bergantung kepada pelan pembayaran yang ditawarkan oleh senarai peniaga kami yang semakin meningkat,” katanya selepas taklimat media Ablr mengenai perancangannya di Malaysia hari ini.
Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di platform Ablr merangkumi kategori saudagar utama seperti rumah dan keluarga, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan dan pengayaan serta perjalanan dan pengalaman.
Sekarang ini, Ablr mempunyai rangkaian lebih daripada 30 jenama di Malaysia dan lebih 250 titik saudagar di kedua-dua negara termasuk pengeluar tempatan dan pengedar peralatan elektrik seperti Khind Malaysia serta produk kesihatan dan gaya hidup, OSIM.
Menurut Chin lagi, Ablr berhasrat untuk memberikan lebih banyak kemudahan kepada pengguna Malaysia dengan membolehkan mereka berbelanja secara bertanggungjawab disamping menguruskan kewangan dengan lebih baik.
“Kami melihat generasi milenium sebagai pengguna terbesar BNPL, memandangkan mereka sedang memasuki alam profesional serta mula mengorak kemajuan dalam kerjaya mereka.
“Kami mahu Ablr dan para pedagang mencerminkan peralihan itu dengan menambah nilai serta menyampaikan tawaran bermakna yang disesuaikan dengan pelbagai peringkat kehidupan,” katanya.
Oleh itu, Ablr yang merupakan syarikat fintech dari Singapura sedang berusaha bagi memperkasakan saudagar mereka untuk mempunyai visi bersama tentang bentuk pembayaran yang lebih didigitalkan dan dipertingkatkan yang seterusnya, akan menambah aliran pendapatan serta pengalaman pelanggan.
“Kami melaksanakan tujuan ini dengan penyelesaian kos efektif dan disesuaikan dengan keperluan individu serta perniagaan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, lawati ablr.com.
— BERNAMA
Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial