58% pekerja Malaysia kelesuan, menurut laporan –


PETALING JAYA, 12 Mei — Lebih separuh daripada pekerja di Malaysia berkata, mereka kelesuan akibat kerja, menurut laporan penyedia penyelesaian sumber manusia, Employment Hero.

“Penemuan utama ialah 58% pekerja bersetuju mereka berasa lesu akibat kerja dalam tiga bulan lepas,” katanya dalam Laporan Kesejahteraan Pekerja 2022.

Menurutnya, kumpulan pekerja berusia 18-35 tahun adalah 20% berkemungkinan besar berasa lesu.

Katanya, pekerja yang kurang keseimbangan kerja dan kehidupan sejak tiga bulan lalu 45% berkemungkinan besar berasa lesu.

“Mereka yang berasa lesu adalah 9% lebih berkemungkinan merasakan produktiviti mereka rendah. Pekerja dengan produktiviti lemah adalah 278% lebih berkemungkinan merasakan kurang keseimbangan kerja-kehidupan,” katanya sambil menekankan kitaran menghakis kesejahteraan mental pekerja.

Laporan itu juga mendapati 50% pekerja merasakan syarikat mereka “sangat menyokong” kesihatan mental mereka, tetapi 50% pekerja masih tidak selesa membincangkan isu kesihatan mental di tempat kerja kerana bimbang akan dikenakan tindakan.

Ia berkata, pekerja yang menilai komitmen majikan mereka terhadap kesihatan sebagai “baik” menyatakan mereka 32% lebih berkemungkinan setia kepada syarikat.

“Disebabkan ramai pekerja merasakan kesan daripada beberapa tahun yang penuh huru-hara ini dalam bentuk isu kesihatan mental dan kelesuan, tempat kerja perlu diubah bagi mewujudkan persekitaran yang mampu mengekal dan menarik bakat terbaik,” kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Employment Hero, Ben Thompson.

Separuh daripada pekerja itu turut berkata, pandemik Covid-19 mengurangkan keutamaan mereka terhadap kerjaya, menandakan lebih ramai pekerja akan mencari pekerjaan dalam industri berbeza atau beralih kepada cara kerja berbeza.

“Beberapa tahun kebelakangan ini telah membuka mata bagi kebanyakan kita, jadi tidak menghairankan keutamaan telah berubah untuk ramai orang,” kata Thompson.

Laporan itu menganalisis data yang dikumpul daripada 1,016 rakyat Malaysia berusia 18 dan lebih 65 tahun daripada pelbagai industri, dengan majoritinya (80%) bekerja sepenuh masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.